Wednesday, August 19, 2009

Remembrance of al Quds

Hari al-Aqsa disambut secara rasmi oleh kerajaan Malaysia pada 21
Ogos setiap tahun. Apakah latarbelakang atau peristiwa yang melatari
21 Ogos sehingga tarikh itu dipilih sebagai hari al-Aqsa? Rencana ini
akan melihat secara retrospek apakah signifikannya 21 Ogos yang pernah
diraikan secara rasmi oleh kerajaan dan rakyat Malaysia terutama pada
tahun-tahun 70’an dan awal 80’an.



Sebagaimana yang kita sedia maklum Malaysia adalah antara negara yang
sangat vokal di dalam menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin
semenjak berlakunya pengusiran penduduk Palestin dari tanah air mereka
pada tahun 1948 dengan berdirinya negara haram Israel dan pencerobohan
ke atas Masjid al- Aqsa serta penaklukan Baitul Maqdis dan Tebing
Barat pada tahun 1967 oleh regim Zionis Israel. Malah sebelum dan
sejurus mencapai kemerdekaan lagi negara Malaysia telah mempamirkan
rekod keprihatinan yang amat membanggakan di dalam perjuangan membela
rakyat Palestin meski tanah air sendiri masih lagi bergelut dengan
pelbagai masalah dalaman dan luaran, termasuklah gugatan Malayan
Union, ancaman Komunis, dan kebangkitan untuk mencapai kemerdekaan
dari penjajahan British. Sejarah telah membuktikan bahawa seorang
tokoh pejuang kemerdekaan yang tersohor iaitu Ustaz Abu Bakar al Baqir
telah menggerakkan satu inisiatif yang diberi nama MATA (Majlis Agama
Tinggi) pada tahun 1947 yang antara lain turut memberi tumpuan kepada
isu-isu antarabangsa umat Islam khususnya pejuangan rakyat Palestin
dan Pattani yang tertindas. Di samping itu perbahasan dalam Dewan
Rakyat juga telah merakamkan penegasan prinsip yang digariskan oleh
Professor Zulkifli Muhammad di dalam menentukan sikap terhadap
pengiktiran entiti zionis Israel. Prof Zulkifli Mohamed mempersoal
asas Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu yang mengiktiraf
negara Israel atas alasan ianya lahir dari ketetapan PBB 181 yang
diterima pada tahun 1947 dengan sempadan yang terbentuk oleh The
Rhodes armistice pada tahun 1949. Walaupun kerajaan Perikatan memberi
justifikasi pengiktirafan itu tidak bermakna Persekutuan Tanah Melayu
akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, pengiktirafan itu
sendiri sudah cukup untuk memberi dokongan moral kepada entiti haram
Israel. Tidak bermakna PBB mengakui negara Israel maka kita tidak
punya pilihan dan terpaksa turut mengiktiraf sebuah negara yang
didirikan dengan menafikan hak rakyat asal Palestin, meskipun proses
pengiktirafan itu dibuat melalui badan dunia tersebut.



Untuk mengukuhkan hujah-hujahnya, Profesor Zulkifli Muhammad
meletakkan persoalan asas berdirinya negara Israel itu. Apakah ia
mempunyai hak untuk menubuhkan negara ‘Zionis’ di atas wilayah
Palestin. Meskipun ia sudah tertubuh dan diakui oleh PBB, itu tidak
menjawab soalan samada ia mempunyai hak atau sebaliknya. Bagaimana
mungkin satu bangsa mengambil alih sebuah negara dari penduduk asalnya
dan mendakwa ia berhak untuk mendirikan negara Israel di sana. Oleh
itu, hujah beliau “…dengan tidak adanya hak asasi yang kuat (untuk
penubuhan negara Israel), maka tidaklah adanya keadaan (de facto) itu
membolehkan kita dengan sendirnya menganggap negara itu sah.”



Pada persidangan PBB pada tahun 1964, Malaysia melalui inisiatif
sendiri telah mengemukakan deraf resolusi (A SPC/L. 116) yang menggesa
supaya suatu wakil rasmi (custodian) dilantik bagi pengurus hartanah
pelarian di bumi Palestin yang terjajah. Wakil Malaysia berhujah
bahawa tuntutan ini adalah selari dengan hak asasi di mana tidak ada
sebab kenapa rakyat Palestin yang terusir tidak punya hak untuk
menguruskan hartanah (samada rumah dan tanah) yang mana mereka dipaksa
keluar oleh penjajah Israel. Menafikan hak rakyat Palestin dalam hal
ini adalah merupakan satu diskrimasi agama dan kaum yang bertentangan
dengan Piagam PBB dan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa.
Sebagaimana yang diduga deraf ini ditentang oleh Israel. Dalam
mempertahankan tuntutan tersebut, wakil Malaysia menegaskan bahawa
’persoalan kedaulatan Israel wajib dilihat dalam konteks
prinsip-prinsip antarabangsa dan tanggungjawab yang diletakkan di atas
entiti tersebut ketika ianya dilahirkan oleh resolusi PBB. Jika Israel
enggan untuk melaksanakan tuntutan ini maka adalah menjadi
tanggungjawab Persidangan Agung PBB memaksa Israel melakukannya.’



Pada bulan April 1969, atas inisiatif Kuala Lumpur, 23 buah negara
Islam bertemu di ibu negara di dalam Konferens Islam Antarabangsa.
Konferens ini meluluskan beberapa resolusi iaitu (1) mengutuk Israel
kerana merampas wilayah Arab dan Palestin termasuk Baitul Maqdis Timur
dalam pencerobohan pada tahun 1967, dan (2) menggesa negara-negara
Islam mengadakan sidang kemuncak bagi menangangi keadaan yang amat
genting natijah dari pencerobohan Israel dan kesannya ke atas Baitul
Maqdis dari pelbagai aspek. Inisiatif yang dimulakan oleh Kuala Lumpur
ini boleh dianggap sebagai langkah awal ke arah penubuhan OIC
(Organization of Islamic Conference).



Kemudian satu peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh
dunia berlaku pada 21 Ogos 1969 apabila seorang pelampau Yahudi telah
membakar Masjid al Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan
kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan
wang ringgit. Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak
ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh
Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi
umat Islam merasa tercabar kerana Masjid ketiga paling suci dalam
akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat zionis
yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan
merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal
Sulaiman). Perbuatan pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennis Rohan
berbangsa Australia ini bukanlah satu perbuatan persendirian yang
terpencil. Malah ia merupakan satu konspirasi yang dirancang sebegitu
rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi
yang bersekongkol dengan regim zionis untuk mengancam dan memusnahkan
Masjid al Aqsa. Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang
berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang
marak dengan menimba air dan memadamkan sendiri kebakaran dengan
bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan
Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa Israel. Michael
Dennis dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan
oleh mahkamah sebagai tidak siuman. Kejadian ini mengingatkan kita
kepada pembunuhan yang berlaku di masjid Ibrahimi (Hebron) beberapa
tahun lalu. Pelampau zionis ini juga dibicarakan dan mahkamah Israel
memutuskan beliau juga tidak siuman. Samada Michael Dennis siuman atau
tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar
Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid
al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga
hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.



Tindakan jahat ini telah mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan
oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (mantan Perdana Menteri
Malaysia), Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II, Maghribi untuk
mengadakan sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25
September 1969. Sidang kemuncak ini memutuskan resolusi untuk
menyatukan seluruh negara-negara Islam ke arah memastikan pengunduran
Israel dari wilayah Palestin yang diduduki natijah dari perang 1967.
Satu resolusi juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian Palestin
yang tidak menjamin kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara
Palestin sebagaimana statusnya sebelum tahun 1967 akan ditolak oleh
negara-negara Islam. Sehubungan dengan itu sebuah sekretariat
ditubuhkan di Jeddah dan Setiausaha Agung (Sekretary General) yang
pertama diberi kepercayaan dan penghormatan ialah YTM Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj. Dengan ini rasmilah penubuhan OIC seperti yang
diketahui pada hari ini.



Sebaik selesai sahaja sidang kemuncak di Rabat, YTM Tunku Abdul Rahman
bergegas ke Persidangan Agung PBB pada 7 Oktober 1969 sebagai mewakili
ketua-ketua negara Islam bagi menegaskan semula kedudukan isu
Palestin. Persoalan Palestin yang telah dikeluarkan dari agenda
Persidangan PBB sejak tahun 1952 telah kembali diiktiraf oleh PBB
hasil dari desakan dan aspirasi ketua-ketua negara Islam yang
diungkapkan dengan penuh meyakinkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di
dalam persidangan PBB sesi yang ke 23 tersebut Persidangan Agung PBB
kemudiannya merubah perspektif mereka terhadap isu Palestin dengan
mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk yang mempunyai hak di
bawah Piagam PBB. Kedudukan rakyat Palestin yang terusir dari tanah
air mereka dan hak mereka yang tidak boleh diganggu gugat ini terjamin
di bawah Resolusi PBB 2535B (XXIV) yang diterima oleh Persidangan
Agung PBB pada 10 Disember 1969. Sumbangan dari YTM Tunku Abdul Rahman
Putra al-Haj wajar dirakamkan sebagai batu tanda yang penting dalam
perjuangan umat Islam di persada antarabangsa dalam isu pembelaan ke
atas rakyat Palestin.



Ikrar dan tekad yang disuarakan sejak sidang kemuncak Rabat pada tahun
1969 terus dihayati oleh kerajaan Malaysia dan rakyatnya sejak 21 Ogos
1969 sebagai Hari al-Aqsa ataupun kini dikenali dengan lebih populor
sebagai ROQ (Remembrance of al Quds). Demi memperbaharui komitmen
Malaysia terhadap hari al-Aqsa maka setem-setem memperingati tarikh
penting ini telah dikeluarkan pada tahun 21 Ogos 1978 dan sekali lagi
pada tarikh yang sama pada tahun 1982. Berdasarkan kepada rekod
sokongan dan solidariti rakyat Malaysia yang amat membanggakan ini
maka adalah wajar bagi kerajaan Malaysia menghidupkan kembali hari
al-Aqsa pada hari ini. Pengistiharan melalui pengumuman di dalam media
massa cetak dan elektronik adalah suatu yang boleh menyemarakkan
semula hari al-Quds. Dengan cara ini maka kesedaran rakyat Malaysia
untuk membantu rakyat Palestin yang terus terjajah dan tertindas
terutama dengan kepungan dan serangan biadap yang berlaku ke atas Gaza
awal tahun ini akan terus bersemarak. Ia juga akan membangkitkan
kesedaran dan dhamir umat Islam untuk membantu saudara-saudaranya di
Palestin terutama dengan kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang
penuh keberkatan yang kebetulan jatuhnya pada tarikh yang sama pada
tahun ini.

No comments:

Post a Comment